Sign In

JPMC HARGAI PENCAPAIAN PARA PESAKIT

Aug 05, 2013

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) baru-baru ini telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil yang berlangsung di bilik CME, JPMC sebagai menghargai pencapaian aktiviti projek berkumpulan yang dilaksanakan oleh pesakit-pesakit strok.



Majlis anjuran Jabatan Pemulihan Hospital itu turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah JPMC, Awang Abd Lattif Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Pafhka Haji Md Yusuf. Juga hadir ahli-ahli Lembaga Pengarah JPMC, Ahmad Jefri Abd Rahman, Eksekutif dan Pengarah Perjawatan, Dato Dr Haji Mohd Isham Haji Jaafar, Pengurus Kanan serta ahli keluarga pesakit.


2013-08-05-00.png

Awang Abd Lattif menyaksikan salah seorang pesakit menjalankan aktiviti.


2013-08-05-01.png

Penyampaian sijil kepada para pesakit.


2013-08-03-00.jpg

Kalangan yang menghadiri majlis berkenaan.



Ketua Jabatan Pemulihan, Vivian Tie dalam ucapan alu-aluannya berkata, acara itu bertujuan untuk menghargai dan menyambut pencapaian pesakit-pesakit strok yang menyertai program yang bertemakan Hari Raya itu.



Program berkenaan mengandungi membuat kek dan kuih-kuih tradisional, membuat bingkai gambar, menghiasi wad-wad neurologi dan pembinaan replika Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien sebagai persiapan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.



"Aktiviti ini, bukan saja bertujuan untuk meningkatkan peluang bagi peningkatan fungsi kapasiti pesakit kami tetapi untuk menunjukkan mereka dan keluarga mereka cara untuk menghadapi kekurangan mereka agar mereka turut serta dalam apa jua yang mereka inginkan seperti yang berkaitan dengan musim-musim perayaan,” jelasnya.



Beliau menambah, ia juga untuk membolehkan mereka mencuba dan menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh juru terapi pemulihan mereka tanpa berputus asa adalah sesuatu pencapaian yang besar.



Seorang pesakit yang baru sahaja pulih dari masalah bertutur iaitu Awang Tee Hock Woo dalam ucapan peribadi bagi pihak rakan-rakan pesakit strok yang lain melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Peduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Brunei Darussalam kerana memberi beliau dan rakan-rakan, rawatan kepakaran perubatan melalui pasukan perubatan dari Brunei Neuroscience Rehabilitation Centre (BNSRC) dan terus pulih melalui pemulihan dengan Jabatan Pemulihan JPMC.



Majlis Penyampaian Sijil itu diteruskan dengan pelancaran replika masjid SOAS bertempat di kawasan penyambut tetamu JPMC. Terdahulu tetamu yang hadir juga berpeluang meninjau ke Jabatan Pemulihan dan menyaksikan para pesakit mendemonstrasikan aktiviti mereka.



Aktiviti-aktiviti ini termasuk mengasingkan kuning telur dan putih telur dengan menggunakan satu tangan, pembuatan bingkai gambar dan pembuatan replika kubah masjid SOAS.



Replika masjid SOAS yang dilancarkan perasmiannya oleh tetamu kehormat diperbuat daripada cardboard berukuran 55 inci lebar dan 45 inci tinggi dan dipamerkan sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri.

 

Media Permata


Copyright © 2019 Jerudong Park Medical Centre. All Rights Reserved.