Sign In

TREND STROK MUDA PERLUKAN KAJIAN MENDALAM

Sep 17, 2013

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Mereka yang mengalami strok di Negara Brunei Darussalam menunjukkan trend yang berbeza berbanding dengan di negara barat terutama dari segi usia di mana penghidap strok di Brunei adalah berusia lebih muda dari penghidap di negara barat.



Pengarah Eksekutif Pusat Pemulihan dan Neurosains Strok Brunei, Profesor Datin Seri Laila Jasa Dr Uta Meyding-Lamade berkata, trend yang berbeza itu memerlukan kajian teliti untuk mengetahui sebab-sebab atau faktor risiko yang menyumbang kepada berlakunya penyakit strok dan juga penyakit neurologi yang lain dalam kalangan masyarakat negara ini.



Pada masa yang sama, katanya, adalah amat penting untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai masalah dan pentingnya mendapatkan rawatan awal jika terdapat simptom strok kerana jika ia dapat dikesan lebih awal, penyakit itu dapat dirawat dengan teratur dan para pesakit berkemungkinan besar dapat pulih.



Beliau menyatakan demikian dalam sidang media mengenai projek kerjasama rentas benua antara Negara Brunei Darussalam dan Jerman iaitu kajian epidemiologi rumah ke rumah yang berlangsung di Pusat Perubatan Jerudong Park, hari ini.



2013-09-17-02.png 

Professor Datin Seri Laila Jasa Dr Uta Meyding memberikan penerangan kepada para media.



Profesor Datin Seri Laila Jasa Dr Uta berkata projek unik dua negara yang melibatkan Universiti Brunei Darussalam, Pusat Pemulihan dan Neurosains Strok Brunei, Krankenhaus Nordwest dan University of Heidelberg, Jerman, itu adalah usaha ke arah bukan sahaja memahami trend penyakit strok di Brunei dan Jerman tetapi adalah bagi penubuhan sebuah pangkalan data kebangsaan bagi penyakit-penyakit neurologi.



Dengan adanya pangkalan data kebangsaan, ia bukan sahaja memudahkan kerja-kerja rujukan tetapi menjadi panduan bagi meningkatkan keberkesanan pencegahan dan rawatan penyakit.



Projek yang mendapat sokongan sepenuhnya daripada kerajaan Brunei menerusi Majlis Penyelidikan Brunei itu merangkumi kajian kekerapan berlakunya penyakit strok dan sklerosis berbilang (MS) di kalangan penduduk Brunei.



Beliau menerangkan bahawa projek tiga tahun itu mula dilaksanakan pada 2012 dan kini sudah tamat fasa awal.



Fasa seterusnya akan bermula dalam masa terdekat dengan para penyelidik akan berkunjung ke rumah-rumah bagi mengemukakan soalan kaji selidik bagi rumah-rumah yang terpilih.



Mengulas mengenai penemuan awal dari kajian yang dijalankan, beliau menyatakan bahawa terdapat beberapa penemuan yang menunjukkan perbezaan dalam kejadian strok dalam penduduk Brunei yang berbeza dengan di Eropah.



Salah satu penemuan itu adalah usia mereka yang menghidap strok adalah lebih muda di mana kira-kira 10 peratus adalah di bawah usia 50 tahun dan satu kes yang dicatatkan adalah seorang pesakit berusia 13 tahun yang menghidap strok.

 


Media Permata

Copyright © 2019 Jerudong Park Medical Centre. All Rights Reserved.