Sign In

PENGHIDAP KANSER PAYUDARA TERUS MENINGKAT

Oct 12, 2013

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Lebih 100 rakan AIA Brunei menghadiri Ceramah Kesedaran Kanser Payudara sempena bulan kesedaran kanser payudara anjuran Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) yang berlangsung di sebuah restoran di Rimba hari ini.



Hadir menyampaikan ceramah pada majlis itu ialah Onkologi Perubatan Pusat Kanser Brunei, Dato’ Seri Laila Jasa (SLJ) Dr Babu Sukumaran. Dalam ceramah beliau antara lain menjelaskan peratus yang menghidap kanser payudara di Brunei dan antara penyebab kanser.



Dato’ Seri Laila Jasa (SLJ) Dr Babu Sukumaran berkata, “statistik pesakit yang menghidap kanser payudara di negara ini dari tahun 2002 hingga 2010 adalah berdasarkan 500 kes yang diterima."



Dari jumlah tersebut, jelas Dr Babu Sukumaran, peratus yang menghidap kanser payudara terus meningkat. Pada 2009 dan 2010 saja jumlah tersebut meningkat dari 73 hingga 75 kes yang dilaporkan.



2013-10-12-02.png

Antara yang hadir di ceramah kesedaran kanser payudara.



2013-10-12-03.png 

Dato' Seri Laila Jasa (SLJ) Dr Babu Sukumaran semasa menyampaikan ceramah beliau.



Kanser payudara ini bukan saja dihidapi oleh kaum perempuan saja yang sudah melahirkan tetapi ia juga boleh terjadi kepada anak remaja dan kaum lelaki. Statistik sepajang tempoh 10 tahun itu, pada 2008, tiga kes kanser dilaporkan dan kes tersebut melibatkan pesakit lelaki.



Beliau turut menjelaskan kes kanser payudara di negara ini mengikut carta umur, kes yang kebanyakan diterima adalah pesakit yang berumur di antara 40 ke 49 tahun.



Ini jelas menunjukkan di peringkat umur tersebut, kanser sangat aktif dan kanser payudara ini mula dihadapi oleh perempuan yang berumur seawal umur 20 tahun ke atas.



Kanser payudara di negara ini, jelas Dr Babu Sukumaran, kebanyakan dihidapi oleh kaum perempuan dan kebanyakannya adalah wanita yang sudah pra menopaus dan 20 peratus wanita dalam usia melahirkan anak.



Beliau seterusnya menjelaskan jika didapati wanita mengandung mengalami kanser payudara ini, mereka akan terpaksa bersalin awal bagi membolehkan mereka menjalani rawatan lebih awal atau pun menjalani pembedahan.



“Hormon wanita seperti lazimnya akan meningkat ketika mengandung yang menyebabkan peratus kanser payudara terus meningkat,” jelasnya.



Ketika mengulas lanjut punca kanser beliau antara lain menjelaskan ia berpunca dari sejarah peribadi kanser payudara, sejarah keluarga terdekat yang menghidap kanser dan HRT putus haid.



Selain itu, sindrom kanser keturunan (BRCA-1&2) di mana 70 peratus wanita yang mempunyai faktor risiko ini juga antara penyebab berlakunya kanser payudara.



Turut hadir pada sesi ceramah itu, Pengarah Agensi AIA Danny Yap.

 

​​

Media Permata

Copyright © 2019 Jerudong Park Medical Centre. All Rights Reserved.