Sign In

Brunei Press, JPMC jayakan kempen kesedaran AIDS

Nov 27, 2013

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Nov – Bersempena dengan Hari AIDS Sedunia tahun ini, Jerudong Park Medical Centre (JPMC) akan bekerjasama dengan Brunei Press Sdn Bhd untuk meningkatkan kesedaran mengenai HIV/AIDS menerusi kuiz –kuiz Hari AIDS Sedunia yang akan diterbitkan dalam akhbar Media Permata dan Borneo Bulletin.


Kuiz-kuiz terdiri dari 8 soalan dengan hanya memerlukan jawapan betul atau salah. Kuiz-kuiz tersebut diterbitkan pada 22, 25 dan 29 November dan 1 Disember dalam Borneo Bulletin dan 27 November dalam Media Permata.


Para peserta boleh menghantar jawapan-jawapan ke Ibu Pejabat Brunei Press di Lot 8 dan 11, Perindustrian Beribi II, Gadong BE 1118.


Sepuluh pemenang bertuah akan diundi dan akan menerima beg barangan dari Jerudong Park Maedical Centre (JPMC) bernilai $150 terdiri daripada keahlian percuma selama sebulan di Pusat Kecergasan JPMC, satu baucar diskaun 20 peratus ke atas rawatan yang terpilih atau perkhidmatan yang ada di JPMC dan satu baucar diskaun 10 peratus bagi sebarang pembelian di Farmasi JPMC.


Menurut Pegawai Pemasaran JPMC, Ak Danny Pengiran Tajuddin, kakitangan Jerudong Park Medical Centre (JPMC) mula memakai reben merah sebagai menandakan Hari AIDS Sedunia yang bakal menjelang.


"Memakai reben berwarna merah adalah cara yang ringkas dan praktik untuk menyampaikan mesej kesedaran mengenai penyakit itu.


"Reben merah itu adalah sebagai simbol berpanjangan terhadap sokongan bagi Hari AIDS Sedunia. Inisiatif kami menjual reben merah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan juga mendapatkan peluang bagi mendidik orang ramai pada acara itu," katanya.


Bermula 26 November, reben merah dijual dengan harga $2 kepada pengunjung-pengunjung, pesakit dan kaki tangan JPMC. Reben merah boleh dibeli di mana-mana kaunter JPMC hingga 8 Disember. Semua hasil jualan akan disumbangkan kepada Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAC) bagi menyokong program mereka mengenai perbincangan dan aktiviti AIDS.


Kempen Hari AIDS Sedunia dikendalikan oleh Jerudong Park Medical Centre dan disokong oleh Brunei Press Sdn Bhd, Media Permata, Borneo Bulletin dan Pusat Kecergasan JPMC.​


Copyright © 2019 Jerudong Park Medical Centre. All Rights Reserved.